Salam Joy,
Esok genaplah 40 hari Aiesya dilahirkan. Alhamdulillah Ibu panjatkan kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Besar. Namun keadaan Aiesya masih sama malah makin lemah dari hari ke hari. Ibu redha.
Semalam, sewaktu lawatan Ibu ke Hospital Batu Pahat, Dr telah tunjukkan X-ray film abdomen Aiesya kepada Ibu. Menurut Dr peparu kiri Aiesya telah dipenuhi udara yang menghalang penyerapan Oksigen ke dalam salur darah. [Inilah punca peratus oksigen dalam darah Aiesya rendah]. Ini menjadikan peparu kiri Aiesya sangat tidak effisien.
Dr juga memaklumkan kepada Ibu bahawa TIADA harapan untuk peparu Aiesya sembuh. Aiesya mungkin mampu bertahan beberapa bulan, namun dengan bantuan ventilator sepenuhnya.
Apalah yang mampu Ibu katakan, Ibu hanya terkesima dan terkedu. Memang setiap yang hidup pasti akan mati, dan keadaan ini telah Ibu dan Ayah sedia maklum, tetapi naluri keibuan Ibu tetap tidak dapat menerimanya dengan ikhlas.
Salahkah Ibu jika masih ada sekelumit harapan dalam hati Ibu mengharapkan Aiesya akan sembuh?
Salahkan Ibu jika perasaan sedih menyelubungi diri bila Adam bertanyakan Adik Aiesya nya?
Salahkah Ibu jika sebak mendengar Adam mendoakan adiknya setiap kali disuruh oleh Ayah?
Salahkah Ibu??
Ya Allah, jika Kau menyayangi Aiesya lebih dari kami menyayangi nya, maka Kau tempatkanlah Aiesya di kalangan orang yang beriman di sisiMu. Namun, andainya ada rezeki untuk Aiesya kembali sembuh, mudahkanlah Ya Allah. Mudahkanlah, Tenangkanlah anak kecilku menghadapi ujian yang sangat getir ini.
Setakat ini apa yang mampu Ibu berikan untuk Aiesya hanyalah doa selain air susu yang masih mengalir ini. Sementara Allah memberikan waktu untuk Ibu terus bersama Aiesya, Ibu akan pastikan Aiesya hanya minum susu Ibu. Ibu akan pastikan Ibu makan makanan yang berzat [Gamogen, Vitamin C 500mg, Multivitamin Vitalea, Vitamin B Complex, Alfalfa-milk booster] supaya susu yang Ibu hasilkan turut berkhasiat. Hanya itu sahaja yang mampu Ibu berikan untuk anak Ibu.
Aiesya,
Ibu redha atas segala yang Allah takdirkan. Ketahuilah anak Ibu, Ibu halalkan setiap titis air susu Ibu untuk Aiesya, Ibu redha setiap detik dan saat Aiesya berada dalam rahim Ibu. Ibu redha atas segala bendalir yang pernah mengalir dalam salur darah yang pernah kita kongsi bersama....Ibu halalkan,sayang...Tenanglah Aiesya...walau apapun yang berlaku, Ibu dan Ayah redha dan mendoakan yang terbaik buat puteri Ibu....
Take care.
Ila, aku doakan yang terbaik untuk anak mu itu...Amin...
ReplyDeletemama, tabah ye.
ReplyDeletebe strong!!